Wednesday, February 25, 2009

Nasionalisme di Brunei, Sabah & Sarawak secara ringkas

Gerakan nasionalisme di Brunei, Sabah & Sarawak dapat dibahagikan kepada dua tahap iaitu tahap pertama semasa di dalam pentadbiran British bagi Brunei, Sabah dan Sarawak. Manakala bagi Kalimantan adalah di bawah pentadbiran Belanda. Tahap ke dua pula adalah ketika Borneo dibawah pendudukan Jepun. Gerakan nasionalisme di Borneo saling berkait di antara wilayah tersebut kerana kedudukan geografi dan persamaan budaya.

Nasionalisme di Brunei

Setelah penuntut Brunei di hantar ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim, Perak maka ia telah mengubah pemikiran dan pandangan orang Melayu Brunei tentang masa depan bangsa dan negeri iaitu pada tahun 1930-an. Pelopor kesedaran kebangsaan Brunei adalah seperti Marsal Maun, Basir Taha, Jamil Umar, H.M. Salleh dan P.M. Yusof. Penuntut Brunei turut menyertai pertubuhan politik ‘Ikatan Pemuda Pelajar dan Ikatan Semenanjung Borneo’ terutama sekali H.M. Salleh yang amat aktif menyertai politik.

Di antara punca semangat kebangkitan nasionalisme di Brunei adalah

1. Sikap pihak British yang mengabaikan serta tidak mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap tanah jajahan mereka.

2. Di dalam pentadbiran Negara, hak asasi bangsa Melayu telah diketepikan dan diberi keutamaan kepada bangsa asing dan digantung daripada jawatan. Ini kerana pihak British menganggap mereka sebagai tali barut kepada tentera Jepun selepas perang.

3. Menentang bangsa asing yang tinggal di Brunei

Nasionalisme Di Sarawak

Sarawak berada dibawah pemerintahan James Brooke yang dilantik sebagai Gabenor Sarawak setelah James Brooke Berjaya membantu Raja Muda Hashim menyelesaikan pemberontakan yang berlaku. James Brooke yang digelar sebagai Raja Putih Sarawak adalah seorang pengembara Inggeris dan mempunyai pengalaman sebagai seorang pegawai tentera di Syarikat India Timur. Sarawak pada ketika itu adalah dibawah pemerintahan kerajaan Brunei iaitu ketika pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddien.

Tokoh ataupun pejuang yang terlibat menentang semasa dalam pemerintahan Brooke adalah Linggir (1849), Rentap (1853), penentangan orang Melayu di bawah Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gafur (1858).

Linggir (1849)

Linggir merupakan pemimpin kaum Iban di Saribas. Punca beliau menentang adalah disebabkan James Brooke dan kapten Farquhar telah menghalang pelayaran Linggir di sungai Saribas. Menyerang kapal Nemesis berdekatan dengan Batang Lupar. Kesan penentangan ini telah menyebabkan Linggir dan para pengikutnya tewas.

Rentap (1853)

Nama sebenar Rentap adalah Libau. Rentap merupakan pemimpin kaum Iban. Beliau menggunakan nama Rentap kerana ia bermaksud penggoncang dunia. Beliau berasal dari Hulu Skrang dan digelar Raja Darat atau Raja Ulu.

Rentap menentang James Brooke kerana Brooke telah menghapuskan orang – orang Iban di Sungai Skrang kerana bangsa Iban telah dianggap sebagai lanun oleh Brooke. Rentap telah menyerang pasukan James Brooke di Kubu Nanga Skrang dan Brooke telah diusir keluar. Oleh yang demikian tentera James Brooke bertindak balas dengan membakar kampong halaman mereka dan ini meyebabkan pejuang – pejuang Iban telah berundur ke Bukit Sadok. Di Bukit Sadok tentera James Brooke telah menyerang mereka lagi dan akhirnya pada tahun 1861 tentera Brooke telah Berjaya menewaskan Rentap dan akhirnya Rentap berundur ke Ulu Sungai Entabai.

Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gapur (1858)

Syarif Masahor adalah seorang Gabenor Sarikei yang dilantik oleh Sultan Brunei. Beliau sangat dihormati oleh kaum Iban dan Melanau. Syarif Masahor menentang James Brooke kerana Brooke telah menguasai wilayahnya di Sungai Rajang. Oleh kerana itu beliau telah kehilangan kuasa untuk memungut cukai dan pengaruh terhadap penduduk tempatan. Oleh kerana tidak berpuas hati terhadap Brooke maka beliau telah menyerang kubu Brooke di Kanowit. Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gapur menyerang Brooke di Kuching namun menemui kegagalan. Dengan itu Syarif telah melarikan diri ke Brunei. Namun beliau diserahkan oleh Sultan Brunei kepada British di Singapura. Manakala Datu Patinggi Abdul Gapur telah melarikan diri ke Batawi tetapi kemudiannya ditahan oleh Belanda dan kemudiannya diserahkan kepada James Brooke.

Begitu juga pada awal abad ke – 20 menyaksikan kemunculan banyak persatuan – persatuan yang membincangkan pelbagai isu yang tertumpu kepada isu ekonomi, bahasa, pendidikan, perpaduan dan pembelaan bangsa.

Nasionalisme Di Sabah

Pemimpin tempatan yang melakukan penentangan di Sabah dilakukan oleh Mat Salleh. Nama sebenar Mat Salleh adalah Mohammad Salleh bin Datu Balu. Beliau adalah dari keturunan suku Sulu Paitan dan merupakan seorang pemerintah daerah Tambunan dan Sungai Sugut.

Di antara faktor yang mendorong beliau untuk menentang kerana SBUB tidak menghiraukan kedudukannya dan juga telah menduduki kawasan pengaruh Mat Salleh. Selain itu, SBUB telah melaksanakan sistem cukai kepala dan surat perahu dan pegawai SBUB telah bersikap kasar terhadap penduduk tempatan. Dengan itu, Mat Salleh telah pergi ke Sandakan untuk berbincang dengan SBUB pada 1895 namun tindakan beliau tidak dilayan. Manakala Gabenor Beaufort pula telah menyerang kampong Mat Salleh dan ini telah memaksa Mat Salleh untuk melarikan diri. Pada tahun 1897, Mat Salleh dan para pengikutnya telah menyerang secara mengejut kubu SBUB di Pulau Gaya. Namun SBUB telah menawarkan satu pelan damai dengan menyerahkan kembali Tambunan kepada beliau. Namun begitu, SBUB telah memungkiri janji. Ekoran daripada itu, Mat Salleh menyerang kubu SBUB sekali lagi. Sebagai tindak balas, pasukan tentera SBUB kemudian menyerang kubu Mat Salleh dan akhirnya Mat Salleh tewas dan meninggal pada 31 Januari 1900.

No comments:

Post a Comment